BATIK, fabrik bercorak yang tidak asing lagi digayakan masyarakat di negara ini. Berasal dari perkataan Jawa iaitu ‘amba’ yang bermaksud menulis dan ‘menitik’ iaitu membuat titik, batik menjadi produk keagungan khususnya penduduk di Indonesia.
Dari negara serumpun, tidak mustahil pemakaian batik boleh diterima pakai di Malaysia dan Indonesia, cuma bezanya ada sedikit perbezaan dari teknik lukisan tangan, motif corak yang dihasilkan di atas rentangan fabrik.
Namun, apabila bersatu dalam majlis pertunjukan fesyen sempena majlis Sepetang Bersama Mitra Seni Indonesia-Malaysia anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, yang menampilkan kira-kira 120 pasang busana batik, masing-masing memiliki keunikan serta keistimewaan tersendiri.
Lenggang lenggok peragawati dan peragawan profesional di atas pentas peragaan berlatar putih, menggayakan lebih 70 busana batik yang dihasilkan oleh pereka fesyen tempatan. Apabila batik dilihat sebagai koleksi bukan hanya dikaitkan dengan pemakaian sarung tradisional secara basahan atau untuk majlis rasmi, tetapi pengayaannya lebih luas apabila di transformasi kepada sentuhan kontemporari moden.
Beberapa pereka fesyen yang terbabit dalam dua sesi pertama pertunjukan fesyen antaranya Barakaff, Oma, Seri Kapas, Jarumas, Molec dan kumpulan pereka Kraftangan Malaysia ternyata lebih gemar memilih rekaan batik moden. Ia dapat dilihat dengan jelas apabila mereka menggunakan fabrik mewah mengurai seperti sutera sifon dan sutera satin serta pada songket.
Selari dengan pemilihan fabrik sedemikian, rekaan dan potongan yang diilhamkan juga mengikut cita rasa masyarakat moden hari ini. Potongan busana juga tidak tertumpu kepada wanita tidak bertudung seperti potongan polos, blaus panjang dan kurung moden. Namun, sebagai keseimbangan gaya hidup wanita hari ini, potongan seperti kaftan dan jubah dalam sentuhan lebih segar dan selesa sesuai untuk gaya pemakaian wanita Muslimah.
Lebih berani potongan blaus berkemban yang dipadankan dengan selendang dan blaus kasual santai yang disuaipadankan dengan topi pantai antara rekaan yang menarik perhatian. Selain itu, gaun petang menggunakan corak batik juga menepati tema dan cita rasa dengan gaya lebih anggun, segak, bergaya sebaik melangkah menghadiri acara berprestij dan majlis eksklusif rasmi.
Secara keseluruhannya, pereka fesyen tempatan gemarkan cita rasa moden apabila menampilkan rona terang, menyala dan berwarna-warni dengan mainan corak berbunga serta haiwan untuk penggayaan kontemporari. Tidak lari daripada batasan budaya, rekaan kekal dengan imej sopan tetapi masih bergaya.
Gaya persembahan rekaan itu memukau perhatian isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datin Seri Masnah Rais selaku tuan rumah.
Acara minum petang itu juga diadakan bagi meraikan kehadiran isteri Menteri Energy dan Sumber Mineral Indonesia, Tresna Jerowacik; Isteri Timbalan Menteri Riset dan Teknologi Indonesia, Sri Kuntari Sapta; Isteri Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mulia Wirana dan isteri, Rini Fahia Wirana; Pembina Mitra Seni Indonesia, Sri Romadhiyati Harmoko dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali.
Pada majlis itu kira-kira 120 ahli rombongan Mitra Seni Indonesia disambut meriah dengan persembahan fesyen yang diadakan di Laman Wau, Kompleks Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay di ibu kota, baru-baru ini.